Allahyarham Aub atau nama sebenarnya, Mohd Rauh Abu dianggap pemain gitar bass terbaik di era rock kapak hingga kini, dan pernah menganggotai kumpulan Satira, Burnmarks, Baba, Manterra dan Barongan.
Menurut isterinya, Faizah Ishak, 42, Allahyarham cukup dihormati dalam industri seni tanah air, disebabkan gayanya yang tersendiri.
Bekas anggota pertama kumpulan Amuk, Aub yang berusia 50 tahun, meninggal dunia di rumahnya kira-kira jam 3.45 petang tadi, akibat kanser tulang.
Allahyarham meninggalkan balu serta lima anak, iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.
Jenazah akan disolatkan di Surau Al-Faizin, Taman Tun Perak, Cheras dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, selepas solat isyak.
“Sebelum ini, arwah tidak pernah cakap apa-apa mengenai penyakit yang dihidapinya. Cuma sekali dua, dia bagi tahu rasa sakit di bahagian tulang belakang.
“Selepas sakitnya itu semakin kerap dirasai, arwah menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan ditahan di wad selama sebulan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Beliau berkata, hujung November lalu, doktor memaklumkan Aub menghidap kanser tulang tahap empat.
“Walaupun menghidap kanser tulang tahap empat, arwah kelihatan sihat seperti biasa hinggalah tiga minggu lepas, penyakitnya itu semakin serius,” katanya.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Aub ada berpesan kepada Faizah supaya menjaga anak-anak dengan baik.
“Arwah sempat bertemu rakan-rakan yang datang melawatnya, ketika dirawat di hospital. Dia selalu berpesan supaya bersabar dan reda dengan segala ketentuan-Nya. Dia juga berpesan kepada saya supaya sentiasa mendoakannya, kerana umurnya itu dirasai tidak berpanjangan,” katanya menahan sebak.
Seorang rakan Allahyarham, Mustafa Kamal Rahmat atau lebih dikenali sebagai Mus Satira memberitahu, arwah adalah seorang yang penyabar dan bersemangat.
“Saya mengenali arwah hampir 20 tahun dan kami semakin rapat sejak beliau menganggotai kumpulan Satira yang ditubuhkan sekitar 1987, namun setelah tampil dengan dua album, anggota kumpulan ini membawa haluan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, pada 2009, Satira kembali dengan anggota asal, tetapi Nan, Atoy dan Mie terpaksa menarik diri, kerana komitmen kerjaya dan juga keluarga.
“Bertitik tolak dari situ, Aub dan Zul telah diserapkan untuk berpayung di bawah lembayung Satira dan kami pernah beraksi bersama dalam konsert kumpulan muzik heavy metal dari Jepun, Loudness sebagai aksi pembukaan bersama kumpulan Sofea dan Shewolves.
“Dari situ, hubungan kami dengan Aub sudah seperti adik-beradik. Kehilangannya itu umpama hilangnya sebuah permata heavy metal, kerana beliau juga merupakan salah seorang pemain bass lagenda negara,” katanya.
Mohd Rauh atau Aub juga pernah membintangi filem ‘Aku Kaya The Movie’ bersama Bandi Amuk dan Stone.
Selain itu, Aub juga sering mengiringi persembahan dan menjadi pemuzik bagi rakaman album beberapa artis tempatan.
Sumber
0 Response to "Al Fatihah : Kumpulan Amuk Telah Terasa Benar2 Kehilangan Dengan Pemergian Arwah"
Post a Comment