Dia anggota polis menurunkan kucing malang yang tergantung di depan rumah mangsa ugutan kongsi gelap.
SIBU - Selepas terselamat dari insiden serangan pada Oktober lalu, seorang ahli perniagaan lelaki sekali lagi menerima kejutan berbaur amaran bilamana seekor kucing hitam digantung sampai mati di depan rumahnya di Jalan Lada, kelmarin.
Gambar-gambar kucing mati digantung di palang besi depan rumah itu tersebar meluas di laman sosial dan menimbul kemarahan para pencinta kucing. Ramai yang mendesak agar pihak polis menyerbu rumah terbabit kerana menyangka pemilik rumah berkenaan yang melakukan perbuatan kejam itu.
Mengambil maklum terhadap laporan orang awam, polis turun ke lokasi kejadian dan mendapati pemilik rumah yang berusia 39 tahun menafikan perkara itu dilakukan olehnya.
Menurut lelaki terbabit, dia sebelum ini juga pernah menerima ancaman melalui telefon dari seorang lelaki yang memberi amaran kepadanya seminggu selepas insiden serangan awal tersebut. Tiga minggu kemudian, dia sekali lagi menerima panggilan ugutan dari individu yang sama.
Bimbang dengan keselamatan dirinya, lelaki terbabit membuat keputusan untuk keluar dari bandar Sibu buat sementara waktu bagi mencari tempat perlindungan.
Bagaimanapun, dia kembali semula ke Sibu kelmarin menggunakan kereta sewa kerana bimbang keretanya dikenali oleh individu yang mengancam keselamatannya.
Pada insiden Oktober yang lalu, sekumpulan lelaki telah mengikat tangan dan menutup matanya dengan kain sebelum membawa mangsa lari menaiki sebuah kereta. Mangsa kemudian dihumban ke dalam sungai, bagaimanapun berjaya melepaskan diri.
Mengulas mengenai tindakan kejam terhadap kucing berkenaan, Persatuan Pencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) melahirkan rasa kesal terhadap tindakan individu yang menggantung kucing untuk membuat ugutan.
“Ini adalah keganasan jelas terhadap haiwan dan perbuatan itu adalah amat jahat dan menunjukkan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.
“Memandangkan ia masih di bawah siasatan polis, kami berharap mereka dapat menangkap individu yang bertanggungjawab serta membawanya ke muka pengadilan,” kata Presiden SSPCA, Donna Wee.
0 Response to "Akhirnya Terjawab!! Punca Sebenar Kucing 'Dihukum Gantung Sampai Mati' Di Sibu"
Post a Comment